• Call Us:+609-7481512

  • Time:Sun-Wed : 08.00-17.00 | Thu : 08.00-15.30

A- A A+

BERITA 2014

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

WACANA MAJALAH PENGASUH

27 November 2014 bersamaan 04 Safar 1436H - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Wilayah Timur telah menganjurkan Wacana Majalah Pengasuh bertempat di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu Kelantan. Wacana ini telah dirasmikan oleh S.S Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Hj Mohamad Shukri bin Mohamad sebagai wakil Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Turut hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Haji Serpudin bin Mohamad, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Timbalan Pengarah JAHEAIK dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Para peserta adalah terdiri daripada Pegawai-pegawai Jajahan, Pensyarah-pensyarah dari IPTA/IPTS, Imam-imam Mukim, Guru-guru Agama MAIK, Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dan orang ramai.

2 slot utama telah mengisi Wacana kali ini. Slot pertama dimulai dengan pembentangan ucaptama oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Ab. Majid, Dekan ISTAC dengan tajuk ‘Pengasuh dalam Mendepani Cabaran Semasa’ dan Dato’ A. Aziz Deraman bertindak selaku pemudahcara. Slot kedua pula diisi dengan pembentangan dua kertas kerja, masing-masing oleh Haji Zaidi bin Hassan, seorang Penulis Bebas dengan kertas kerjanya yang bertajuk “Fikiran-fikiran Dalam Pengasuh sehingga 1937”, manakala kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh Dr. Ahmad Faisal bin Abdul Hamid dengan tajuk ‘Majalah Pengasuh dalam Persuratan Melayu’. Dr Faisal merupaka seorang pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur. Kedua-dua pembentangan kertas kerja ini telah dimudahcarakan oleh Ustaz Mohamad bin Mahmud yang juga merupakan mantan Editor Majalah Pengasuh.

Dalam ucapan perasmian, S.S Dato’ Hj. Mohamad Shukri berkata “Pengasuh sudah ada (membangkitkan) Nasionalisme Melayu yang mula bangkit sekitar 1930-an. Pengasuh juga sangat tersentuh dengan isu-isu dunia Islam. Contohnya pada dekad 1950-an dibawah pimpinan Hassan Haji Muhammad, banyak disiarkan dalam pengasuh ini ulasan-ulasan politik yang berlaku di Kashmir dan Palestin serta rampasan kuasa pada di Nigeria dan Iraq. Itu sudah cukup memberi gambaran bagaimana prihatinnya Pengasuh mengenai (hal) ini”.

Beliau mengharapkan agar Majalah Pengasuh bukan sahaja terus terbit, malah mempunyai dinamismenya yang tersendiri serta berdaya saing dan maju. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah pun memperkenalkan subjek J-QAF. Kita yakin pembaca yang boleh membaca jawi akan terus meningkat pada masa akan datang. Oleh sebab itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan akan terus mempertahankan Jawi walau apa jua keadaan yang berlaku demi generasi akan datang.

Disediakan Oleh : Muslihah Binti Che Mat Rani

 

Tags:

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Bebas-Tol : 1-800-88-6060

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Ikuti Kami:    

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1333
Kelmarin1146
Minggu Ini10223
Bulan Ini34414
Keseluruhan528271

X