Seawal pagi tadi kami menerima maklumat dari penduduk setempat, video yang menunjukkan seorang ibu meraung terkejut kerana anak yang ditinggalkan masih sihat dan bernyawa pada sebelah paginya ditemukan sudah tidak bernyawa akibat lemas di dalam tali air di hadapan rumahnya.
Kisah pilu ini, membawa kami ke rumah mereka di Kampung Sering, Pengkalan Chepa untuk mengetahui kisah hidup keluarga ini kerana dimaklumkan mereka adalah keluarga kurang berkemampuan dan sudah kematian ketua keluarga, iaitu sang suami pada 3 tahun lalu.
Ibu sembilan anak ini memberitahu kami yang anak bongsu bersama salah seorang anaknya berusia 9 tahun bermain di kawasan tali air dan ketika itu air sedang pasang.
Ceritanya, kepada kami, kehilangan anaknya diketahui setelah dihubungi oleh adiknya yang tinggal bersebelahan rumahnya apabila mendapati Hamzar tidak kelihatan dalam tempoh yang lama. Ketika itu kak Rosmazini masih berada di sekolah salah seorang anaknya.
Disebabkan usaha mencari di sekitar rumah tidak ditemui, adik-beradik arwah terjun ke dalam tali air kerana dimaklumkan yang Hamzar bermain di sekitar tali air. Namun, tidak ditemukan.
Penduduk kampung berusaha menyelam dan akhirnya jasad Hamzar berjaya dibawa naik dengan menggunakan jala.
Masih lagi terkejut dengan kehilangan anak lelaki bongsunya, Kak Rosmazini menceritakan sejak kebelakangan ini Hamzar menjadi pendiam dan sering menyebut “adik nak g kat abah”. Dia juga menjadi semakin manja tetapi Kak Rosmazini tidak mengendahkan kerenahnya kerana dia penat. Dia bekerja di kedai makan dan pulang lewat pagi bagi menampung belanja keluarga meskipun telah menerima bantuan JKM.
Kak Rosmazini mengucapkan terima kasih kepada MAIK kerana bukan sahaja dia pernah menerima bantuan zakat sebelum ini, tetapi dalam keadaan sedih sebeginipun pihak MAIK turut menyampaikan sumbangan dan bertanya khabar.
Pada hari ini, AF. Ustaz Haji Baharin bin Yusoff, Imam Tua Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa mewakili MAIK turun padang menziarahi keluarga ini. Selain bertanya khabar beliau turut menyampaikan sumbangan MAIK berjumlah RM1,000 dan menghulurkan duit tabung masjid sebanyak RM200 dan juga barangan dapur.
Sebelum pulang, AF. Ustaz Haji Baharin bin Yusoff, turut membaca doa dan diaminkan oleh ahli keluarga arwah.
Terima kasih kepada para pembayar zakat MAIK kerana hasil sumbangan anda semua lah pihak MAIK dapat sampaikan bantuan segera bagi meringankan beban keluarga ini. Tidak lupa juga terima kasih kepada orang ramai yang turut memberikan maklumat kepada MAIK untuk sama-sama membantu golongan asnaf yang memerlukan agar mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya. Anda Hero Asnaf!