faq lokasi aduan peta


BERITA 2022

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

DEMI TANGGUNGJAWAB...IMAM MASIH DALAM KEADAAN BERTONGKAT SANGGUP HANTAR BANTUAN SEGERA ZAKAT MAIK KEPADA WARGA EMAS TERLIBAT TRAGEDI KEBAKARAN

Cakna dan memahami kesusahan dihadapi rakyat ketika dilanda ujian yang sangat menebal dalam jiwa, telah mendorong Alfadhil Ustaz Fathul Hakim bin Kamarul Zaman, Imam Tua Masjid Ismaili Bandar Tumpat turun padang dengan segera meskipun dalam keadaan bertongkat demi memastikan mangsa kebakaran rumah menerima bantuan zakat.

Demi sebuah tanggungjawab, meskipun dirinya masih belum dapat berjalan dengan baik dan bergantung dengan tongkat akibat ujian kesihatan, namun Imam Tua Masjid Ismaili Bandar Tumpat tetap menggagahkan diri menyantuni Muhd Nasir bin Abdullah, 76 dan isterinya Maimunah binti Omar, 75.

Beliau turut ditemani AF. Ustaz Md. Sukeri bin Rameli, Imam Tua Masjid Assomadi, Geting dan beberapa kakitangan Masjid Ismaili Bandar Tumpat telah menyampaikan bantuan kecemasan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM 1,000 kepada Muhd Nasir.

Malang tidak berbau. Begitulah nasib malang yang menimpa sepasang suami isteri warga emas serta diuji dengan keuzuran apabila rumah diaminya hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran pada malam kelmarin sekitar jam 4.30 pagi (Khamis 7 Julai 2022) di Kampung Geting, Tumpat.

Tragedi beberapa jam menjelang Subuh itu meninggalkan kesan mendalam buat pasangan itu apabila mereka masih terbayangkan kesulitan ketika menyelamatkan diri semasa api sedang marak.

Lebih menyulitkan keadaan apabila Muhd Nasir yang kurang jelas penglihatan dan pendengaran berusaha menyelamatkan Maimunah yang tidak boleh berjalan akibat sakit lutut.

Alhamdulillah, kedua-duanya sempat keluar melalui pintu belakang rumah ketika api sedang marak di bahagian tengah rumahnya.

Beberapa detik kemudian, jiran mereka yang menyedari kebakaran segera menghubungi pihak bomba.

Sepasukan pihak bomba bersama jentera pemadam kebakaran telah tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan usaha pantas dilakukan supaya kebakaran tidak merebak ke rumah berhampiran. Lebih kurang 30 minit, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

Buat masa ini, Muhd Nasir dan isteri menumpang di rumah anak mereka di Kampung Bunohan, Tumpat.

Diharapkan dengan bantuan tersebut dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan mangsa. Semoga mangsa bersabar, tabah dan redha di atas ketentuan ALLAH SWT ini.

Lihatlah betapa bermakna dan bernilainya wang zakat yang diinfakkan menerusi MAIK. Dapatlah kita bersama-sama MAIK meringankan beban dan ujian yang yang menimpa mangsa kebakaran ini. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya dengan sebaik-baik balasan dan ganjaran. Aamiin.

#PembayarZakatAndaHeroAsnaf

#MAIKPrihatin

#MAIK2022

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Bebas-Tol : 1-800-88-6060

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini137
Kelmarin3979
Minggu Ini10738
Bulan Ini51233
Jumlah Pengunjung7376410