faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

KAMI DAH TAK ADA YANG LAIN

Semalam kami ke Kampung Air Dingin, Tumpat. Kami santuni keluarga Kak Surayya binti Drahman. Beberapa hari lalu, kami terima maklumat, mereka perlukan bantuan segera. Si suami, Ahmad Razali bin Abdullah, 49, menghidap kanser pundi kencing tahap 4. Si isteri tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga suami. Dua anak masih bersekolah. Seorang di tingkatan 3 dan satu lagi di darjah 6.

Ketika kami masuk ke rumah, kami lihat beberapa beg diisi pakaian dan perkakas lain. Pada mulanya kami ingatkan baju-baju tempahan yang sudah siap dijahit. Sebabnya di sebelahnya terdapat mesin jahitan. Tapi jawapannya bukan begitu.

Kak Surayya sebenarnya sedang bersiap-siap untuk menghantar suaminya ke hospital, dia perlu jalani kimoterapi 2 kali sebulan di HUSM. Mereka menunggu kedatangan kami sebelum ke HUSM. Mereka tahu kedatangan pihak MAIK diwakili YBrs. Encik Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat kami bukanlah sia-sia. Ada rezeki dan membawa rahmat buat keluarga mereka.

Kehidupan empat beranak ini berubah sejak 2 tahun lalu setelah sel ketumbuhan di dalam tubuh Abang Li sudah merebak ke paha dan bahagian belakang badan. Keadaan dia semakin teruk sehinggalah kini tidak boleh berjalan. Paha kanan juga berlubang. Bernanah. Dia dibekalkan steroid. Sekiranya rasa sakit, dia terus makan. Itu sahaja yang boleh legakan kesakitan Abang Li. Sebelum ini Abang Li bekerja sebagai pencuci kolam di Singapura tapi terpaksa balik ke kampung untuk rawatan.

Kak Surayya memberitahu kami, selama ini dia gunakan duit simpanan untuk menampung segala perbelanjaan, tapi semakin hari tabungan semakin susut. Lagipun dia tidak boleh kerja. Macam mana duit nak bertambah. Ketika duit semakin sedikit, ALLAH SWT hadirkan pertolongan. Adik-beradik, sanak-saudara dan ipar-duai hulurkan bantuan. Boleh ringankan beban. Tapi Kak Surayya juga sedar, sampai bila dia nak harapkan mereka. Dia tahu masing-masing ada tanggungan sendiri. Mujur juga dia terima bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna).

Fikiran Kak Surayya buntu, fikirkan soal duit. Mereka memang menerima bantuan JKM, tapi perlu berjimat-cermat. Katanya, duit JKM RM500 setiap bulan itulah juga digunakan untuk membayar rumah sewa sebanyak RM400 sebulan. Bayangkan kos membeli peralatan perubatan sudah berjumlah RM208 sebulan. Memang mereka dah tak ada pendapatan lain.

Keluarga Kak Surayya diuji dengan dugaan sangat berat. Jangan risau Kak Surryya dan Abang Li. Pembayar zakat kami tidak akan membiarkan keluarga Kak Surryya dan Abang Li terus terbeban sebegini. Jadi semalam, Encik Ikhwan tunaikan hasrat pembayar zakat kami, supaya zakat yang dibayar kepada MAIK dapat membantu mereka yang layak.

Kami lapangkan kesulitan Kak Surayya. Semalam kami sampaikan Bantuan Perubatan MAIK berjumlah RM3,000. Bukan itu sahaja, Kak Suryya juga tidak perlu risau mengenai perbelanjaan bulanan. Pembayar zakat kami yang budiman akan membiayai. MAIK luluskan Bantuan Bulanan Fakir Miskin sebanyak RM1,000 sebulan. Kami sampaikan rezeki. Rezeki yang sebenarnya tidak terjangka oleh Kak Surayya sendiri. Betapa para pembayar zakat kami mahu membantu, kerana kami tahu keluarga Kak Surayya memang wajib dibantu.

Pembayar zakat kami juga tidak mahu Kak Surayya dan Abang Li risaukan mengenai persekolahan anak-anaknya. Jadi kami pertimbangkan bantuan Biasiswa Tengku Anis untuk 2 orang anaknya yang masih bersekolah. Kami juga maklumkan MAIK turut meluluskan Bantuan Rumah Sewa sebanyak RM250 sebulan. Rezeki yang kami berikan ini dibalas dengan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat.

Dalam masa sama, air mata Kak Surayya dan Abang Li mengalir. Kami turut tersentuh melihat kedua-dua mereka mengalirkan air mata. Kami tahu mereka tidak dapat menahan tangisan kegembiraan, kerana luah Kak Surayya, apa yang kami sampaikan ini sebenarnya tidak terjangka oleh mereka. Mereka sangat bersyukur kerana ALLAH SWT 'datangkan' rezeki berupa wang zakat dari MAIK ketika kehidupan mereka diuji sebegini rupa.

Sebelum kami pulang, Kak Surayya juga memberitahu, dia akan mengingatkan anak-anaknya, jika mereka berjaya selepas ini, jangan lupa untuk tunaikan zakat. Mereka kena ingat yang duit zakat, pernah membantu keluarganya suatu masa dahulu, ketika kita berada dalam kesempitan. Dengan duit zakat itu jugalah nanti akan membantu orang yang memerlukan.

flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Bebas-Tol : 1-800-88-6060

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini3340
Kelmarin5342
Minggu Ini8682
Bulan Ini19620
Jumlah Pengunjung15261166