faq lokasi aduan peta


BERITA 2025

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAIK BANTU NENEK UZUR DEMI MASA DEPAN TIGA CUCU YATIM

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Hari ini, kami menziarahi seorang nenek yang cukup tabah, makcik Sabariah binti Mamat, di Kampung Batu Karang Dalam, Rantau Panjang. Beberapa hari lalu, makcik Sabariah kehilangan anak perempuannya yang meninggal dunia akibat sakit jantung. Kini, beliau menjaga tiga orang cucu yang masih muda, masing-masing berusia 13, 15 dan 17 tahun, yang kini yatim piatu selepas pemergian ibu mereka empat hari lalu.

Keluarga ini menumpang di sebuah rumah kayu usang dalam kawasan berhutan, hasil ihsan seorang jiran yang membenarkan mereka tinggal secara percuma. Keadaan rumah sangat daif, malah tandas hanya ditutup dengan plastik dan kayu, amat tidak selamat untuk cucu-cucu perempuannya. Dahulu, makcik Sabariah pernah menyewa rumah, namun terpaksa berhenti kerana tidak mampu membayar sewa. Walaupun uzur, beliau tetap memikirkan masa depan cucu-cucunya yang sudah lama berhenti sekolah disebabkan masalah kewangan. Katanya, “Saya cuma takut mereka tersilap jalan. Zaman sekarang macam-macam boleh jadi.” Setiap hari, si nenek ini hanya mampu berdoa agar Allah tunjukkan jalan keluar buat keluarganya.

Alhamdulillah, hari ini doa makcik Sabariah akhirnya dimakbulkan. Rombongan MAIK bersama insan berhati mulia, Abbe Hea daripada Pertubuhan Jejak Jalanan, turun padang menziarahi keluarga ini bagi menyampaikan bantuan dan memberi semangat kepada mereka. Ziarah kali ini disertai oleh Puan Siti Farahida binti Fauzi, Pegawai Agihan Zakat MAIK, Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK serta AF. Ustaz Armin Azahari bin Mamat, Imam Tua Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang.

Untuk keselamatan dan keselesaan keluarga ini, pihak Abbe Hea telah membantu mencari sebuah rumah sewa baharu yang lebih selesa. MAIK pula akan menanggung bayaran sewa bulanan rumah tersebut melalui Bantuan Rumah Sewa MAIK.

Selain itu, keluarga makcik Sabariah akan menerima Bantuan Bulanan MAIK sebanyak RM600 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian. Pada hari ziarah ini juga, MAIK menyampaikan bantuan segera berjumlah RM1,600 berserta bakul makanan asas.

Rezeki juga berpihak kepada anak makcik Sabariah, kak Rohani yang berusia 40 tahun dan sedang berjuang melawan kanser tahap empat.

MAIK, mewakili pembayar zakat, juga akan turut membantu untuk menampung kos rawatan kemoterapi yang tertangguh akibat kekangan kewangan.

Sebelum rombongan pulang, makcik Sabariah bersama anak dan cucu-cucunya mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pembayar zakat. Katanya, “Kalau bukan kerana zakat, entah apa nasib kami sekarang.” Air mata syukur mengalir saat bantuan disampaikan.

Inilah bukti bahawa zakat yang dibayar bukan sekadar angka, tetapi menjadi asbab kebahagiaan dan penyelamat buat insan yang benar-benar memerlukan.

Semoga Allah SWT membalas ganjaran yang berlipat ganda kepada semua pembayar zakat dan penyumbang MAIK. Setiap sen yang kita hulurkan menjadi sinar harapan buat mereka yang diuji.

#MAIK2025

#ZakatMAIK

#HeroAsnaf

#KelantanPrihatin

#KasihTanpaBatas

flickrwww.flickr.com


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini6872
Kelmarin5815
Minggu Ini23962
Bulan Ini107564
Jumlah Pengunjung53940075