faq lokasi aduan peta


BERITA 2022

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

PENGURUSAN MASJID DI NEGERI KELANTAN DIBERI PENDEDAHAN MENGURUSKAN KEWANGAN SECARA PRINSIP PERAKAUNAN YANG BETUL

Majlis Penutup Kursus Pengurusan Kewangan dan Integriti Masjid Negeri, Jajahan, Bandar negeri Kelantan serta penyerahan zakat Bank Rakyat berlangsung dengan jayanya pada 28 September 2022 bertempat di Hotel The Grand Renai, Kota Bharu.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua MAIK juga Tengku Temenggong Kelantan.

Majlis turut dihadiri Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato' Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan, Yang Amat Berusaha Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Berbahagia Mejar Jeneral (B) Dato' Mamat Ariffin bin Abdullah, Ketua Istiadat Pejabat Sultan Kelantan merangkap Pengerusi Masjid D'Raja Long Yunus Langgar, Yang Berbahagia Profesor Dr. Haji Abdol Samad bin Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan dan Yang Berbahagia Encik Nor Haimee Zakaria, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Bank Rakyat.

Kursus Pengurusan Kewangan dan Integriti yang diadakan selama dua hari bermula 27 September 2022, adalah program kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) cawangan Kelantan sejak 2018 lagi.

Seramai 97 peserta yang menyertai kursus kali ini melibatkan imam tua, imam muda, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa masjid bandar jajahan.

Matlamat utama kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pengurusan masjid bagi menguruskan kewangan secara prinsip perakaunan yang betul dan memenuhi keperluan perundangan semasa.

Antara modul yang dibentangkan dalam kursus, seperti integriti dan tadbir urus masjid, perakaunan asas, penyediaan akaun secara manual, perekodan berkomputer, dan beberapa sesi latihan disediakan.

Bagi memastikan pihak masjid mengamalkan pengurusan kewangan yang betul dan selaras dengan keperluan semasa, UiTM juga akan membuat ‘follow up’ kepada masjid-masjid yang telah mengikuti modul-modul ini.

Pihak pengurusan MAIK juga dalam proses menyediakan garis panduan pengurusan kewangan masjid untuk dijadikan rujukan bagi pihak pengurusan masjid mengamalkan tatacara pengurusan kewangan yang betul dan berkesan.

Perkara ini selaras dengan pelan strategik maik 2020-2030 dalam teras 4 iaitu peningkatan keberkesanan peranan institusi masjid melalui penerbitan standard manual pengurusan masjid.

Dalam pada itu, sebagai usaha awal, MAIK juga akan memulakan Program Penarafan Masjid Mukim pada 2023. Program ini akan memberikan standard dan piawaian yang tinggi kepada masjid bagi memastikan ianya berfungsi dan berperanan dengan lebih progresif serta efektif pada masa hadapan.

Pada majlis itu juga, MAIK menerima bayaran zakat tahunan daripada Bank Rakyat yang berjumlah RM 600,312 dan penyerahan dilakukan oleh Yang Berbahagia Encik Nor Haimee Zakaria, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Bank Rakyat.

flickr

www.flickr.com

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Bebas-Tol : 1-800-88-6060

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini3016
Kelmarin3511
Minggu Ini6527
Bulan Ini16631
Jumlah Pengunjung8183784