Hujan tidak menghalang usaha kami untuk menghantar bantuan wang zakat dan bantuan bakul makanan kepada enam keluarga asnaf di sekitar Kampung Sireh dan Pintu Geng, Kota Bharu.
Pada hari ini, Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersama Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK telah menyantuni mereka. Turut hadir sama adalah Imam Tua Masjid Jamek Sultan Mansor, Pegawai Pengurusan Projek MAIK, Pegawai Agihan Zakat MAIK dan Pegawai Komunikasi Korporat MAIK.
Daripada sesi ziarah hari ini juga, pihak kami turut mengesyorkan bantuan lain bagi membantu yang ada diantara mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menyara keluarga.
Bantuan yang kami hulurkan hari ini adalah wang zakat daripada kalian semua. Betapa mereka berterima kasih dan amat menghargai pemberian pada hari ini. Terima kasih pembayar zakat.
Tidak lupa juga kepada orang ramai yang selalu memberi kerjasama dan komited dalam memberi maklumat kepada MAIK bagi memastikan mereka yang kesusahan terutama sekali asnaf dapat dibantu oleh MAIK dengan segera dan sewajarnya. Pemberi maklumat golongan asnaf kepada MAIK dan Pembayar Zakat adalah Hero Sebenar Asnaf.