WANG ZAKAT MAIK BANTU MANGSA BANJIR MULAKAN PERNIAGAAN KECILAN

Berita 2022 Jumlah paparan: 430

Di sebalik musibah yang melanda dirinya, seorang mangsa banjir meluahkan kesyukuran kerana ALLAH SWT menggantikannya dengan rezeki lebih baik dengan kehadiran pihak dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK).

Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz juga Yang Dipertua MAIK bersama Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajjah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong menziarahi keluarga Robi'e binti Zainuddin, 41, terjejas teruk akibat banjir di Kampung Guntong, Kota Bharu.

Ibu kental yang menghidap penyakit Gout dan bergerak dengan bergantung kepada tongkat itu menerima sumbangan wang zakat berjumlah RM1,000.

Turut bersama menziarahi mangsa banjir ialah, Yang Amat Berusaha Haji Mohd Anis bin Hussein, Ketua Jajahan Kota Bharu bersama isteri dan Yang Amat Berusaha, Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK serta isteri.

Rumah sewa ibu empat anak itu ditenggelami banjir dan menyebabkan kesemua barangan di dalam rumahnya rosak, termasuklah barangan yang digunakan untuk berniaga secara atas talian dengan menjual tempahan 'surprise' hari lahir dihanyutkan banjir dan tidak dapat diselamatkan.

Punca utama mata pencarian mereka untuk menyara dua anak lelaki juga pelajar tahfiz di sebuah pondok di Kota Bharu dan seorang lagi belajar di sekolah rendah itu musnah 'ditelan' banjir sedalam enam meter.

Meskipun ujiannya begitu berat, namun Puan Robi'e menganggap ini adalah peluang untuk dia memulakan kehidupan baharu berbekalkan sumbangan zakat MAIK dengan memulakan perniagaan ayam madu bakar nanti.

Puan Robi'e juga mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana menerusi harta yang diinfakkan kepada MAIK inilah telah memberi harapan baharu kepadanya selepas kesemua barangan musnah ditenggelami banjir. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalasnya.

 flickr

www.flickr.com

 

Cetak
Admin
Admin