Dalam usaha bagi memelihara budaya dan khazanah Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku Resepi Warisan Cik Siti Wan Kembang yang menghimpunkan 101 resepi warisan negeri Kelantan. Resepi tradisional yang merangkumi makanan utama, lauk pauk, makanan kering, kuih muih dan juga kerabu telah berjaya menarik minat pembeli untuk memiliki buku Resepi Warisan Cik Siti Wan Kembang.
Majlis Pelancaran buku ini telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Yang Dipertua MAIK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra sempena program Raudhah Aidiladha TV9 bertempat di Dataran Lembah Sireh pada 25 Oktober 2013. Jualan buku yang amat memberansangkan dari pembeli sehingga mencecah lebih satu ribu naskhah dalam masa lima bulan buku ini dilancarkan.
Buku yang dijual dengan harga RM100 senaskhah telah diulang cetak sebanyak 1000 naskah pada Februari 2014 kerana masih mendapat permintaan yang tinggi dari peminat masakan tradisional Cik Siti Wan Kembang. Buku ini juga diharap dapat dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan khususnya dan sesiapa sahaja yang sememangnya berminat mendapatkan resepi tradisi Kelantan. Ia juga diharap dapat menimbulkan minat dari kalangan generasi muda untuk mempelajari serta menguasai seni masakan warisan negeri Kelantan.
Bagi meluaskan lagi pasaran buku Resepi Warisan Cik Siti Wan Kembang, MAIK juga telah menjalinkan kerjasama dengan pihak pengedar buku seperti UMK Business Ventures dan juga Syarikat Muda Osman bagi memasarkan buku ini kepada pembaca luar.
Pembelian buku juga boleh dilakukan secara online melalui Sistem e-Penerbitan MAIK. Bagi yang berminat boleh hubungi Unit Penerbitan MAIk di talian 09-7481512 atau emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Disediakan Oleh : Nik Norazimah Binti Che Yaakub