03 November 2015 (Selasa) – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Kelantan telah mengadakan siri Seminar Sejarah Kesultanan Melayu Kelantan bertempat di Dewan Profesional UiTM, Cawangan Kelantan, Kampus Machang dengan penyertaan melebihi 800 orang yang terdiri daripada Mahasiswa/i, para pelajar sekolah di sekitar daerah Machang serta para peminat sejarah.
Objektif utama seminar ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar serta masyarakat berkenaan susur galur sejarah Kesultanan Melayu Kelantan. Selain itu juga seminar ini turut membincangkan secara ilmiah mengenai peranan Sultan dalam pekembangan negeri Kelantan. Akhir sekali seminar ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya menjaga dan mengetahui sejarah dan adat warisan Melayu Kelantan.
Seminar ini dibarisi oleh lima orang pembentang iaitu Ustaz Mohamad bin Mahmud (MAIK), Prof. Dato’ Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali (UM), Prof. Dato’ Dr. Haji Mohamed Anwar bin Omar Din (UnisZA), Prof. Madya Dr. Mat Rofa bin Ismail (UPM) dan En. Mohamed Safaruddin bin Ismail (Pegawai Tadbir Negeri Kelantan).
Diantara tajuk-tajuk makalah yang di bentangkan di dalam seminar tersebut adalah
- 1) SULTAN MUHAMAD II,
- 2) PERJANJIAN BANGKOK 1909: DAMPAK KE ATAS SOSIOPOLITIK DAN EKONOMI NEGERI KELANTAN,
- 3) PERANAN RAJA-RAJA MELAYU DALAM KEMERDEKAAN: TUMPUAN KHUSUS KEPADA RAJA-RAJA KELANTAN,
- 4) KESULTANAN MELAYU KELANTAN DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA
- 5) BAHASA ISTANA D’RAJA KELANTAN.
Kemuncak kepada Seminar ini dengan Keberangkatan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan mencemar duli bagi meyampaikan titah ucaptama dan merasmikan program seminar tersebut, seterusnya baginda berkenan melancarkan buku “Ikhtisar sejarah Kelantan” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Disediakan Oleh : Mohd Usairi bin. Mohamed