
PENDIDIKAN ISLAM PERJUANGAN BERSAMA MAIK-YIK
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memainkan peranan utama dalam pengembangan dan menjayakan agenda pentadbiran Islam di Negeri Kelantan sejak sekian lama.
Tanggungjawab ini telah termaktub dalam enakmen MAIK yang menjadi teras dan punca kuasa pelaksanaan aktiviti berkaitan agama Islam di Negeri Kelantan.
Dengan tanggungjawab dan amanah yang semakin besar dipikul oleh pihak MAIK, maka sebahagian tanggungjawab menjayakan agenda pendidikan Islam ini telah diberikan tugas kepada pihak Yayasan Islam Kelantan (YIK) sejak penubuhannya pada 1 Mac 1983.
Sebagai tanda dan kebersamaan dalam menjayakan agenda pendidikan Islam di negeri ini, maka pihak MAIK telah menyalurkan peruntukan bantuan kewangan kepada YIK sejak tahun 2014 lagi.
Untuk makluman bersama juga, sehingga tahun 2024, sejumlah RM 29 juta telah disalurkan kepada YIK bagi tujuan pengurusan tahunan YIK di bawah kategori asnaf fisabilillah.
Perkara itu dikongsikan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua MAIK sempena Majlis Ramah Mesra Tengku Temenggong Kelantan Bersama Pelajar-Pelajar Maahad Tahfiz YIK di Renai Hotel Kota Bharu pada 30 April 2025.
Bagi tahun 2025 juga diteruskan sumbangan kewangan dengan peruntukan berjumlah RM 2.5 juta dan antara tujuan penggunaan dana tersebut adalah untuk menampung emolumen guru-guru dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
Menyedari kekangan kewangan, ditambah ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa dengan kadar inflasi yang meningkat, sudah tentu cabaran dan halangan utama pihak YIK dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk anak-anak didik adalah terbatas.
Sehubungan itu, pada tahun 2025, pihak MAIK telah bersetuju untuk menambah peruntukan bantuan kewangan kepada YIK dengan jumlah bantuan RM 2 juta lagi sebagai tambahan dan menjadikan kumulatif bantuan kewangan kepada YIK pada tahun 2025 ini adalah berjumlah RM 4.5 juta.
Tambahan bantuan kewangan ini adalah bagi tujuan menampung kos perbelanjaan makan minum di sekolah-sekolah maahad tahfiz YIK dan Maahad Sains Tok Guru.
Selain daripada itu juga, pelbagai bantuan dan program sumbangan yang disediakan oleh maik bagi membantu para pelajar, antaranya:
- Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK kepada pelajar asnaf fakir miskin melalui bantuan kewangan secara bulanan disalurkan bagi yang layak.
- Baikpulih bangunan serta pembelian perabot bagi sekolah dan asrama yang memerlukan.
Sejak tahun 2016 lagi, sejumlah RM18,081,556.00 telah dibelanjakan bagi tujuan baikpulih dan pembelian perabot melalui peruntukan wang ehsan Negeri Kelantan dan telah memanfaatkan 93 sekolah terlibat.
MAIK juga telah membina bangunan tambahan tiga tingkat, di 8 sekolah YIK termasuk di Sekolah Maahad Ahmadi Tanah Merah yang dijangka siap pada tahun ini serta pembinaan bangunan tambahan Maahad Rahmaniah Kuala Krai yang akan bermula tahun ini.
Peruntukan bagi pembinaan baharu bangunan-bangunan sekolah ini adalah berjumlah RM36,831,556.00 yang dibelanjakan sejak tahun 2016 lagi.
Pada majlis ini juga seramai 250 pelajar asnaf di bawah YIK menerima sumbangan zakat wakalah yang telah diamanahkan oleh pihak Pelaburan Hartanah Berhad kepada pihak MAIK untuk diagihkan kepada yang layak.
Majlis dihadiri, YB. Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Mohamad Shukri Bin Mohamad (Mufti Negeri Kelantan), YAA. Dato’ Haji Ibrahim Bin Deris (Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan), YB. Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran Bin Muhammad (Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan), YB. Brigedier Jeneral Dato’ Perwira Raja Dato’ Haji Nik Mohd Shafriman Bin Hj Nik Hassan (Penglola Istana D’raja), YB. Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Bin Haji Nik Mohamad (Timbalan Mufti Negeri Kelantan).
Turut hadir, YB. Dato’ Lela Perkasa Dato’ Haji Che Mohd Rahim Bin Haji Jusoh (Ahli MAIK), YABhg. Dato’ Haji Mohd Anis Bin Hussein (Timbalan Yang Dipertua MAIK), YABHG. Dato’ Shahidani Bin Abd Aziz@Juned ( Ahli MAIK ), YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr Zainai Bin Mohamed (Ahli MAIK), YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Sheikh Omar Bin Ab Rahman (Ahli MAIK), YABrs. Haji Zulkifle Bin Ab Rahman (Pengarah Yayasan Islam Kelantan), YABrs. Dr Hasnan Bin Haji Ramli (Pengarah JAHEAIK), YBhg. Prof. Dr. Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail (Ahli MAIK) dan YBrs. Encik Zulkifli Bin Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad).
#MAIK2025