faq lokasi aduan peta


PERKHIDMATAN

RUMAH KEBAJIKAN DARUL AITAM

Image
  • Telefon : 09-7715770 (Putera) / 09-7731293 (Puteri)
  • Faks : 09-7715777
  • Waktu Berurusan :
    Ahad hingga Rabu : 8.00 pagi - 5.00 petang
    Khamis : 8.00 pagi - 3.30 petang
    Jumaat & Sabtu : Cuti

SEJARAH

DARUL AITAM merupakan Rumah Kebajikan untuk penempatan anak-anak yatim di bawah kawalan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Unit Darul Aitam berfungsi secara khusus untuk mengurus serta mengelola sebarang hal ehwal yang berkaitan dengan kebajikan anak-anak yatim dan penubuhan Darul Aitam adalah di bawah Seksyen 7 (1)(C) Enakmen MAIK 1996.

Darul Aitam Putera MAIK mula beroperasi setelah pengambilan penghuni pertama pada 5 Mei 1985 seramai 10 orang. Mereka ditempatkan di sebuah bangunan wakaf MAIK di Jalan Yaakubiah (Jalan Dato’ Lundang) sebelum berpindah ke tempat sekarang iaitu di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Lot 2136, Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Panji, 16100 Kota Bharu, Kelantan pada Ogos 2006.

Manakala Darul Aitam Puteri mula beroperasi pada 25 Julai 1992 dan DYMM. Raja Perempuan Kelantan telah mengampuni perkenan mencemar Duli berangkat bagi menyempurnakan perasmian pembukaan bangunan Darul Aitam Puteri pada 3 Ogos 1992 di Bangunan Kuaters Kerajaan yang telah diubahsuai di JKR 277 (N), Jalan Raja Dewa 2/20, Jalan Telipot, 15150 Kota Bharu Kelantan. Bilangan penghuni puteri tahun pertama penubuhan tersebut ialah seramai 30 orang. Pada Disember 2015, Darul Aitam Puteri telah berpindah dari Jalan Raja Dewa, Kota Bharu ke Lot 2168, Jalan Tengku Ahmad Panglima, Kampung Kubang Tuman, 15400 Kota Bharu bagi penempatan sementara (Disember 2015 – November 2020) disebabkan oleh (perancangan naiktaraf kawasan itu untuk pembangunan lain). Darul Aitam Puteri telah berpindah buat kali kedua dan ditempatkan di tanah wakaf Tengku Mansor di Lot 2134, Panji Kota Bharu, Kelantan pada tahun November 2020 sehingga sekarang.

Had pengambilan untuk Darul Aitam Putera ialah seramai 80 orang manakala Darul Aitam Puteri ialah 70 orang. Usia Darul Aitam MAIK kini ialah 38 tahun dan sepanjang penubuhan rumah kebajikan ini, seramai 1,069 orang anak-anak yatim telah menghuni Darul Aitam. Sepanjang tempoh itu juga, Darul Aitam MAIK telah melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya sama ada dalam bidang akademik atau dalam kerjaya masing-masing.

OBJEKTIF PENUBUHAN

  1. Membantu memberi kemudahan dan kesempurnaan sara hidup kepada anak-anak yatim Islam yang miskin dan dhaif
  2. Membimbing melengkapkan diri dengan kemahiran untuk hidup berdikari
  3. Membimbing dan memberikan kemudahan pendidikan ilmiah ke arah mencapai kecemerlangan akademik
  4. Meringankan beban keluarga anak-anak yatim dari golongan miskin
  5. Memupuk keimanan dan mengukuhkan didikan rohaniah yang seimbang dan sempurna
  6. Menerapkan nilai-nilai keagamaan bagi melahirkan anak-anak yatim yang dinamis progresif serta berakhlak mulia.
  1. Pemohon hendaklah terlebih dahulu mengisi Borang Permohonan Kemasukan Penghuni Darul Aitam MAIK.
  2. Menghantar borang yang telah diisi dengan lengkap bersama dokumen- dokumen yang diperlukan ke Pejabat Darul Aitam MAIK.
  3. Pihak Darul Aitam MAIK akan membuat lawat siasat ke rumah-rumah pemohon.
  4. Hanya pemohon yang memenuhi syarat sahaja akan dipanggil untuk ditemuduga.
  5. Proses temuduga akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan. Pemohon bersama ibu/penjaga akan ditemuduga oleh panel penemuduga yang telah dilantik khas.
  6. Pemohon berjaya akan melaporkan diri ke Darul Aitam MAIK pada tarikh yang akan dimaklumkan/ditetapkan.
  7. Borang Permohonan boleh dimuatturun di bahagian MUAT TURUN portal MAIK dan juga boleh didapati di Pejabat Darul Aitam seperti berikut:
    • Rumah Kebajikan Darul Aitam
      Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
      Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra,
      Lot 2136, Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Panji,
      16100 Kota Bharu.

      No Telefon: 097715770

  1. Anak Yatim atau piatu;
  2. Berumur antara 10 hingga 13 tahun;
  3. Keutamaan kepada peranakan negeri Kelantan dan ibu/bapa berasal dari negeri Kelantan;
  4. Keluarga yang kurang berkemampuan (asnaf) dan mempunyai tanggungan yang ramai;
  5. Pendapatan penjaga tidak melebihi RM1,500.00 dengan tanggungan tidak kurang daripada 3 orang;
  6. Bilangan adik-beradik yang tinggal di Darul Aitam MAIK terhad kepada 2 orang sahaja;
  7. Sihat tubuh badan/fizikal dan bekelakuan baik; dan
  8. Keutamaan kepada calon yang mempunyai tahap akademik sederhana dan ke atas.

Sesuai dengan objektif penubuhan Darul Aitam untuk memberi keselesaan kehidupan kepada anak-anak yatim yang kehilangan tempat bergantung, pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi membantu mereka menjadi insan yang berjaya dan berdikari mengikut kemampuan dan potensi yang ada pada diri mereka.

Antara program-program yang dilaksanakan seperti :

  1. PROGRAM PEMANTAPAN DIRI : Majlis suai kenal, kelas Al-Quran dan bimbingan Fardhu Ain, Kelas Agama Kursus dan Bimbingan.
  2. KEMAHIRAN : ceramah motivasi dan agama, asuhan pengurusan diri dan kesihatan, kursus kemahiran belajar
  3. AKADEMIK : Kelas tambahan semua matapelajaran, program kecemerlangan seperti kelas intensif UPSR, PMR dan SPM,kelas pemulihan 3M
  4. PROGRAM REKRIASI : Riadah dan kawad, lawatan sambil belajar,menerima lawatan dan kunjungan serta program gotong-royong

Darul Aitam dibina bertujuan untuk memberi kemudahan tempat tinggal, persekolahan, kemudahan berekreasi sebagai asas keperluan hidup. Kemudahan seperti dewan serbaguna, mussala, asrama, persekitaran yang selesa dapat mewujudkan suasana belajar serba lengkap yang diperlukan oleh mereka.

Kemudahan yang disediakan juga banyak membantu mengembangkan potensi penghuni-penghuni Darul Aitam. Antara kemudahan yang disediakan adalah :

  1. Persekolahan
  2. Pakaian
  3. Pengangkutan
  4. Rawatan & Perubatan
  5. Makan & Minum
  6. Bantuan melanjutkan pelajaran & biasiswa
  7. Duit sumbangan balik kampung

Darul Aitam memperolehi peruntukan daripada MAIK dan sumbangan daripada badan-badan pertubuhan, badan-badan korporat, orang perseorangan dan sebagainya.

Darul Aitam juga mempunyai Tabung Kebajikan di mana ianya menerima sumbangan daripada pelbagai pihak

Peruntukan dan sumbangan tersebut digunakan untuk perbelanjaan dan keperluan anak-anak yatim

Di antara perbelanjaan yang digunakan untuk anak-anak yatim adalah seperti berikut :

  1. Makan dan minum
  2. Yuran Persekolahan
  3. Buku sekolah dan lain-lain keperluan
  4. Pakaian seragam
  5. Lawatan sambil belajar
  6. Aktiviti-aktiviti pembangunan jati diri

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini271
Kelmarin2347
Minggu Ini19098
Bulan Ini109272
Jumlah Pengunjung22993876