
MAIK SALUR RM670 RIBU UNTUK IMARAH BULAN RAMADAN
Bagi memastikan aktiviti ihya’ ramadan berlangsung dalam suasana yang terbaik, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan Sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM670,000 kepada 621 buah masjid seluruh negeri Kelantan.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK pada hari ini pada Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua MAIK Bersama Pegawai Masjid Seluruh Negeri Kelantan di Hotel Perdana.
Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan dalam ucapan amat yakin percaya setiap masjid telah merancang program imarah ramadan yang tersendiri.
Ihya’ Ramadan yang dirancang pada kali ini mestilah mencakupi aspek pembangunan ruh insaniah dalam diri Muslim, supaya di akhir Ramadan nanti lahirnya hamba-hamba Allah SWT yang bertaqwa sebagaimana matlamat berpuasa.
Sumbangan ini diharap dapat membantu pihak masjid dalam menyajikan program dan aktiviti bermanfaat kepada para jemaah dengan memanfaatkan peluang beribadah dalam bulan yang mulia ini.
Bersempena kehadiran Ramadan kali ini, marilah sama-sama kita beriltizam untuk mempertingkatkan kuantiti dan kualiti ibadah, menambah keikhlasan dalam amalan serta peluang refleksi diri dengan bermuhasabah untuk menjadi hamba yang lebih taat kepada perintah-Nya pada masa hadapan.
Gunakan peluang Ramadan pada kali ini untuk mendekatkan masyarakat kita dengan masjid melalui penganjuran program dan aktiviti Ihya’ Ramadan yang berkesan dan berimpak.
Semoga Ramadan ini menjadi Ramadan terbaik untuk kita semua dengan harapan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” ( Riwayat Bukhari Muslim )
Selamat menunaikan ibadah berpuasa dan amalan yang terbaik di bulan Ramadan nanti. semoga semua amalan kita diterima sebaiknya oleh Allah SWT nanti. Insya-Allah.