
REZEKI ANAK-ANAK ASNAF FAKIR DAN MISKIN UBAH MASA DEPAN
Alhamdulillah seramai 15 orang pelatih asnaf fakir dan miskin yang terdiri daripada 8 pelatih automotif dan 7 pelatih jahitan sulaman bagi ambilan Mac 2024 telah menamatkan kursus mereka.
Mereka ini telah mendapat manfaat daripada wang zakat yang telah diinfakkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi kursus-kursus yang disediakan.
Insya-Allah berkat ilmu yang diberikan ini, para pelatih dapat memanfaatkannya demi mengubah masa depan diri sendiri dan juga keluarga mereka. Lihatlah betapa bermaknanya wang zakat anda semua. Kami sediakan “pancing” kepada mereka agar pelatih-pelatih ini dapat menggunakannya dengan baik pada masa hadapan.
Pada 15 Januari 2025 telah berlangsungnya Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Pelatih Bengkel Kemahiran Hidup ( MAIK) Ambilan Mac 2024, dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein; Timbalan Yang Dipertua, MAIK.
Majlis yang diadakan di Dewan Hilir, Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu turut dihadiri Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK, Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu, Pegawai Pengurusan Projek MAIK, Pegawai Pembangunan Sosio Ekonomi MAIK, Pegawai Agihan Zakat MAIK, Pegawai Tadbir Pendidikan MAIK dan Pegawai Pelaburan MAIK.
Pada majlis ini, Muhammad Faiz Akmal bin Mohd Sabri diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik Bengkel Kemahiran Hidup Automotif MAIK 2024, Anugerah Pelatih Terbaik Bengkel Kemahiran Hidup Jahitan dan Sulaman MAIK 2024 diberikan kepada Siti Nir Maisarah binti Mohd Nasir. Anugerah Pelatih Terbaik Kategori Jahitan Pakaian Lelaki diberikan kepasa Tuan Puteri Syairah binti Tuan Mohd Adnan dan Anugerah Pelatih Terbaik Kategori Sulaman pula milik Nur Atiqah binti Mohd Shukri.