faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

DUIT ZAKAT BANTU KELUARGA ENCIK AMRAN JAGA BAPA HIDAP STROK OTAK DAN IBUNYA YANG DERITA ANGIN AHMAR

Betapa besarnya pahala duhai pembayar zakat sekalian. Betapa bermaknanya wang zakat saudara saudari yang dibayar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Wang zakat itulah, telah kami salurkan kepada encik Amran bin Awang, 43, bagi menjaga bapanya, yang berusia 71 kini terlantar akibat strok otak di Kampung Gertak Kangkong Mengkebang Kuala Krai.

Dalam masa sama, anak bertuah itu juga perlu memberikan tumpuan dan menguruskan ibunya yang menghidap angin ahmar sebelah tubuh. Sang ibu yang seusia bapanya juga masih memerlukan perhatian kerana baharu sembuh dari strok.

Sementara, punca utama pendapatan encik Amran adalah daripada hasil menoreh getah. Dengan wang itu jugalah dia menyara isterinya Siti Hajar, 28, serta lima orang anak, berumur 9 hingga 1 tahun. Si isteri adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Selain bergantung dengan pekerjaannya sebagai penoreh getah, encik Amran juga bersyukur kerana ayahnya juga menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Bapa lima anak itu juga sedikit lega kerana anak sulongnya yang bekerja sebagai kelindan lori juga turut menghulurkan duit bagi membeli lampin pakai buang, namun anak lelakinya juga perlukan duit untuk kegunaan harian diri sendiri.

Ceritanya juga, dia bernasib baik kerana mujurlah dia tidak perlu membayar sewa rumah kerana tempat mereka berteduh sekarang ini disediakan secara percuma kerana menjaga dusun buah majikannya.

Kegigihan encik Amran menyara keluarga besarnya dalam keadaan serba kekurangan itu sampai ke pengetahuan kami. MAIK diwakili Al-Fadhil Ustaz Armin Azahari bin Mamat, Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, telah segera menziarahi keluarga encik Amran.

Bagi menampung perbelanjaan menguruskan kedua-dua orang tua encik Amran, MAIK juga telah menyampaikan sumbangan zakat berupa wang tunai dan makanan kepada keluarga berkenaan. Alhamdulillah, wang zakat yang diamanahkan oleh para pembayar dapat memberikan kelegaan kepada mereka sekeluarga.

Marilah sama-sama kita membayar zakat. Rebutlah peluang melunaskan tanggungjawab kita di penghujung bulan Disember tahun ini. Bukan sahaja kita mendapat keberkatan dan dijanjikan ganjaran pahala malah sebenarnya kita telah memberikan kebahagiaan kepada insan-insan yang memerlukan. Betapa mulianya saudara-saudari sebagai pembayar zakat.

Rebutlah peluang membayar zakat di MAIK sepanjang Disember ini, kerana saudara-saudari bukan sahaja berpeluang membantu asnaf yang memerlukan, tetapi anda juga mendapat rebat 100 peratus cukai pendapatan.

Disamping itu, 17 pembayar zakat terawal di kaunter MAIK dengan pembayaran serendah RM100 akan mendapat hadiah istimewa iaitu, Earbuds TWS Bluetooth 5.0 Earphone.

Sepanjang Disember, kaunter zakat akan dibuka setiap hari termasuk Jumaat dan Sabtu. Anda juga boleh menunaikan zakat secara atas talian tau!

Layari https://bit.ly/3xG3eOG untuk info lanjut.

 

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini488
Kelmarin3091
Minggu Ini13935
Bulan Ini85309
Jumlah Pengunjung22969913