orange   green   default   red   malay   English  
A- A A+
faq lokasi aduan peta


PERKHIDMATAN

PENGURUSAN BAITULMAL

Baitulmal berasal daripada dua kosakata bahasa Arab iaitu Bait (بيت) bererti rumah dan al-Mal (المال) bererti harta atau ringkasnya ‘rumah harta’. Dalam istilah moden, institusi Baitulmal lebih dikenali sebagai Perbendaharaan Negara.

Secara istilahnya Baitulmal merupakan suatu bentuk institusi kewangan dan pengurusan harta dalam Islam yang mentadbir pelbagai sumber hasil seperti dana zakat, harta wakaf, cukai-cukai (kharaj dan jizyah) dan lain-lain sumber yang dikumpul dan digunakan untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Institusi Baitulmal belum wujud secara formal pada zaman Rasulullah SAW namun institusi kewangan mula wujud secara tidak rasmi apabila masjid telah dijadikan pusat pentadbiran yang menguruskan hal ehwal ibadat dan kemasyarakatan. Keadaan tersebut berterusan sehingga zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan menjadi lebih meluas pada era Khalifah Umar Ibn al-Khattab apabila perluasan wilayah baharu yang dikuasai banyak mendatangkan perubahan yang memerlukan kebijaksanaan, sehinggalah fungsi harta yang diperolehi ketika itu dimanfaatkan untuk membayar gaji pekerja, membiayai perbelanjaan negara, menjana pembangunan ekonomi dan sebagainya.

Sumber Baitulmal pada ketika itu meliputi:

(1) KHARAJ -
Cukai yang dikenakan terhadap tanah yang dibuka oleh orang-orang Islam secara peperangan atau perdamaian yang tidak dibahagi kepada pejuang Islam tetapi dijadikan harta negara dengan pemiliknya yang asal.

(2) JIZYAH -
Merupakan cukai (diri) yang dikenakan terhadap bukan Islam (kafir zimmi) yang tinggal di negara Islam.

(3) USYUR -
Cukai yang dikenakan ke atas tanah yang dimiliki oleh orang kafir yang memeluk Islam tanpa melakukan peperangan.

(4) WAKAF DAN WASIAT -
Penyerahan penggunaan harta secara manfaat untuk kebajikan umat Islam.

(5) KAFFARAH -
Merupakan denda yang dikenakan ke atas seseorang yang melakukan kesalahan syarak seperti melanggar sumpah, nazar, bersetubuh pada bulan Ramadan atau melakukan zihar.

(6) ZAKAT -
Salah satu rukun Islam iaitu kewajipan mengeluarkan kadar yang tertentu daripada harta umat Islam dan wajib dibelanjakan kepada golongan-golongan yang tertentu yang berhak (asnaf).

KONSEP

Pelaksanaan konsep Baitulmal di Malaysia pada masa ini telah disesuaikan dengan kehendak Perlembagaan Malaysia dan terletak di bawah struktur kuasa perundangan negeri. Ini jelas dari Jadual ke Sembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan hak kerajaan negeri termasuk hak penentuan hukum agama yang berkaitan dengan harta seperti zakat, wakaf, baitulmal dan yang berkaitan dengan hal ehwal agama. Di negeri Kelantan, ia terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual ke Sembilan Senarai 2 Senarai Negeri bahawa:

“Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam negeri; adat Melayu, Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya”

PERANAN

Unit Pembangunan Baitulmal (kini Unit Mal dan Sumber Am) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sentiasa berusaha menjadi penyumbang hasil kepada MAIK selain zakat. Kewujudan institusi pengawal Baitulmal seiring dengan penubuhan MAIK pada tahun 1915 namun secara rasminya termaktub di bawah Enakmen MAIK 1966, sebagaimana dijelaskan di dalam Seksyen 41 (1) Enakmen MAIK Bil. 4 /1994 bahawa;

“Suatu dana yang diberi nama Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan wang itu hendaklah mengandungi semua wang dan hartabenda alih atau tak alih yang menurut Hukum Syarak atau peruntukan Enakmen ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, diperolehi atau disumbangkan oleh mana-mana orang atau pihak kepada kumpulan wang itu”.

Selaras dengan fungsi asal Baitulmal sebagai sebuah ‘perbendaharaan’, fungsi Unit Mal dan Sumber Am MAIK diselaraskan untuk menambah sumber kewangan dan meningkatkan taraf ekonomi umat Islam khususnya di Kelantan dengan cara:

  1. Menguruskan harta-harta berkaitan baitulmal serta harta umat Islam dari pelbagai sumber.
  2. Menambahkan pendapatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan melalui urusan penyewaan premis-premis dan pajakan tanah-tanah baitulmal.
  3. Berusaha mendapatkan bahagian harta pusaka umat Islam yang terhak kepada Baitulmal sebagaimana ditetapkan Syarak.
  4. Memperkasa fungsi baitulmal sebagai salah satu institusi kewangan Islam yang mampu membangunkan sosio-ekonomi di samping menjaga kebajikan umat Islam.

Bidang kuasa Baitulmal dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan adalah sebagaimana peruntukan Seksyen 42 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bil. 1/1994 yang menjelaskan:

“Majlis hendaklah mempunyai kuasa memegang, mentadbir, menukar, memajak, menggadai, menjual, membuat pawahan melabur wang atau harta-harta Baitulmal alih atau tak alih, bagi maksud memaju dan mengembangkan pendapatan dari harta-harta itu”, meliputi :
  1. Kutipan sewa premis (rumah-rumah kedai)
  2. Kutipan sewa atau pajakan tanah
  3. Cucuran pusaka Baitulmal
  4. Harga/pampasan tanah
  5. Dalal (komisyen)Baitulmal
  6. Pelbagai hasil Baitulmal (seperti Luqatah, Hibah dan serahan wang tidak patuh Syariah)
  7. Perolehan dari Pelaburan dana baitulmal

Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah mengasingkan kedua-dua sumber penting ini kepada dua akaun berlainan (baitulmal dan zakat) dalam mempermudahkan pengurusan dan pelaksanaan agihan dana melibatkan akaun zakat dan akaun baitulmal. Sungguhpun demikian, prinsip dan ciri-ciri pengagihan kedua-dua sumber ini tetap tidak berubah dengan dana zakat diagihkan kepada lapan asnafnya yang khusus manakala dana baitulmal pula diagihkan untuk manfaat am umat Islam agar tidak lari daripada maslahah (kebajikan) dan ‘adalah (keadilan).

DEFINISI

Luqatah adalah barang yang ditemui di suatu tempat awam atau suatu kawasan tiada pemilik dalam keadaan tidak terjaga, dan penemu barangan itu tidak mengenali pemiliknya. Misalnya, seorang muslim menjumpai suatu barang lalu ia khuatir tersia-sia barang itu, lalu ia memungutnya dan menyerahkannya kepada pihak berwajib. Contohnya rantai emas, jam tangan, cincin dan lain-lain.

Penyerahan harta Luqatah boleh dibuat di Ibu Pejabat MAIK atau melalui Kaunter Baitulmal MAIK di Masjid Bandar/Jajahan atau kepada Pegawai Masjid Mukim, untuk tujuan diiklankan kepada awam dalam tempoh sehingga 1 tahun, tertakluk kepada Garis Panduan Pengurusan Harta Luqatah MAIK di bawah kelolaan Unit Mal dan Sumber Am MAIK.

HARTA LUQATAH YANG TIDAK DITUNTUT

Harta Luqatah yang tidak dituntut dalam tempoh 1 tahun akan melalui proses lelongan / tender / sebutharga dan seterusnya dilupuskan.

FUNGSI DANA BAITULMAL

  1. Sebagai terjemahan kepada Perkara 41(1) Enakmen MAIK No.4/1994 yang menyebut “Suatu dana yang diberi nama Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan wang itu hendaklah mengandungi semua wang dan hartabenda alih atau tak alih yang menurut hukum Syarak atau peruntukan enakmen ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, diperolehi atau disumbangkan oleh mana-mana orang atau pihak kepada kumpulan wang itu.”
  2. Dana ini dikumpul melalui konsep tabarru` (تبرع) hasil sumbangan orang ramai kepada Baitulmal MAIK.
  3. Harta yang diperolehi daripada sumber syubhah atau mana-mana wang tidak patuh syariah bolehlah disalurkan ke Dana Awam Baitulmal MAIK.
  4. Sumbangan langsung daripada individu mahupun pihak korporat sebagaimana kutipan sumbangan dana awam yang lain.
  5. Antara manfaat umum yang boleh dilaksanakan daripada Dana Awam Baitulmal MAIK adalah seperti berikut:
    1. Sumbangan kepada kelompok selain asnaf dan orang bukan Islam yang memerlukan.
    2. Bantuan Kecemasan Misi Banjir, Bencana Alam dan Pandemik
    3. Bantuan Segera Kebakaran
    4. Membina Pusat Ekonomi Rakyat
    5. Membantu Keperluan Segera Masyarakat
    6. Kemudahan Kesihatan
    7. Sumbangan Kebajikan Am
    8. Mewujudkan Pusat Perlindungan (orang lanjut usia atau tiada waris)
  6. Sumbangan dan hasil daripada Dana Baitulmal ini tidak akan digunakan untuk tujuan pengurusan MAIK tetapi dikhususkan untuk sebab-sebab berkaitan kepentingan awam semata-mata.
KAEDAH SUMBANGAN

1. POTONGAN GAJI BULANAN
Sebagai sebuah institusi yang diberi mandat mengelola hal ehwal Baitulmal di negeri Kelantan, pihak MAIK boleh mewujudkan mekanisme yang lebih sistematik bagi memudahkan umat Islam menyalurkan sumbangan kepada Dana Baitulmal MAIK secara Skim Potongan Gaji (secara bulanan).
  1. Sumbangan kepada Dana Baitulmal MAIK secara potongan gaji telah dimulakan pada bermula April 2021 dikalangan semua pegawai dan kakitangan MAIK dengan kadar RM1.00 sehingga RM3.00 sebulan sebagaimana julat berikut:

  2. Borang Skim Potongan Gaji hendaklah diagihkan kepada semua Ketua Jabatan (Negeri dan Persekutuan) serta semua penjawat awam di negeri Kelantan.

2. SUMBANGAN SECARA ATAS TALIAN
Bagi memastikan kemudahan pengguna dan penyumbang, Dana Awam Baitulmal juga boleh disumbangkan melalui platform atas talian, antaranya:
  1. Direct Debit (e-mandate)
    Pengguna boleh mengisi borang permohonan Direct Debit melalui borang yang disediakan oleh pihak MAIK dan terus meletakkan jumlah sumbangan yang ingin disalurkan secara arahan potongan dalam akaun penyumbang.

  2. Borang Skim Potongan Gaji hendaklah diagihkan kepada semua Ketua Jabatan (Negeri dan Persekutuan) serta semua penjawat awam di negeri Kelantan.

3. SUMBANGAN MELALUI SUMBER YANG SYUBHAH DAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH OLEH AGENSI PERBANKAN DAN INSTITUSI KEWANGAN
Dana Awam Baitulmal juga menerima sumbangan daripada agensi kewangan dan bank yang ingin menyalurkan wang tidak patuh syariah atau syubhah (sumber yang meragukan).

4. SUMBANGAN MELALUI KAUNTER BAITULMAL
  1. Kaunter Pejabat MAIK
    Para penyumbang boleh hadir ke kaunter secara fizikal untuk menyerahkan sumbangan kepada Dana Awam Baitulmal dan terus mendap resit bayaran pada masa berkenaan.

  2. Kaunter Baitulmal Masjid Bandar/Jajahan
    Kaunter Baitulmal di Masjid Bandar dan Jajahan juga boleh menjadi tempat pungutan sumbangan bagi Dana Awam Baitulmal sebagaimana penerimaan bayaran zakat, wakaf dan lain-lain urusan yang disediakan.
5. SUMBANGAN MELALUI TABUNG-TABUNG DANA
  1. Tabung Dana Awam Baitulmal di Masjid Bandar Dan Jajahan
  2. Tabung Dana Awam Baitulmal di Pejabat-pejabat kerajaan
  • UNIT MAL DAN SUMBER AM
    Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
    Kompleks Islam Darul Naim, Lundang
    Jalan Sultan Yahya Petra,
    15200 Kota Bharu, Kelantan

  • Telefon : +609 7481512

  • Emel : baitulmal [at] e-maik [dot] my

  • Waktu Berurusan :
    Ahad hingga Rabu : 8.00 pagi - 5.00 petang
    Khamis : 8.00 pagi - 3.30 petang
    Jumaat & Sabtu : Cuti

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Bebas-Tol : 1-800-88-6060

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1347
Kelmarin1348
Minggu Ini2695
Bulan Ini18363
Jumlah Pengunjung2436157

A- A A+