orange   green   default   red   malay   English  
faq lokasi aduan peta


PERKHIDMATAN

DAKWAH / SAUDARA BARU & TAULIAH MENGAJAR

Image

Antara aktiviti DAKWAH yang diadakan ialah:

  • Program pengajaran Agama di Masjid-masjid mukim
    Program ini diadakan menerusi pengajian bersiri dan berterusan yang disampaikan oleh guru-guru agama yang dilantik khas oleh MAIK untuk mengajar agama di masjid yang ditetapkan. Setiap Guru Agama, MAIK boleh mengajar maksimun di empat (4) buah masjid mukim dengan kekerapan sebanyak empat kali sebulan bagi sebuah masjid atau 16 kali bagi empat buah masjid. Guru Agama MAIK dibayar elaun sebanyak RM100.00 bagi satu kuliah dan tidak melebihi 16 kali sebulan.

  • Program Kuliah Pagi Jumaat di Masjid Bandar/Jajahan
    Program ini diadakan di masjid Bandar/Jajahan pada setiap pagi Jumaat yang disampaikan oleh Guru Agama yang dilantik.

  • Pengeluaran Sijil Tauliah Mengajar
  • Pengesahan Pindaan Tukar Nama Bagi Orang Islam
  • Seminar-seminar atau aktiviti-aktiviti lain berkaitan dengan dakwah Islamiah

DAKWAH SAUDARA BARU ORANG ASLI
Antara aktiviti/program dakwah kepada Saudara Baru Orang Asli adalah:

  • Pemantapan Ilmu Mualaf
    1. Kursus Mingguan Fardu Ain Saudara Baru Orang Asli di lima (5) perkampungan Orang Asli iaitu Pos Hendrop, Pos Tuel, RPS Kuala Betis, Pos Brooke dan Pos Sungai Rual, Jeli.
  • Pemantapan Daie :
    1. Kursus kepada Guru Agama Orang Asli, MAIK
    2. Perjumpaan Bulanan Bersama Guru Agama Orang Asli, MAIK, Penggerak Masyarakat Orang Asli, JAKIM dan Mua’llim JAHEAIK
    3. Bengkel Pengukuhan Dakwah kepada Daie
  • Jaminan Kebajikan Mualaf : 
    1. Penajaan Pengajian Pelajar Saudara Baru Orang Asli
    2. Sumbangan Hari Raya kepada Ketua Isi Rumah Orang Asli Negeri Kelantan
    3. Bantuan Keraian Memeluk Islam
    4. Bantuan Kecemasan (Kematian dan Sakit Kritikal)
    5. Bantuan Perkahwinan kepada Saudara Baru
    6. Sumbangan Barang Kebajikan Kelas Fardu Ain kepada Guru Agama Orang Asli, MAIK
  • Program Turun Padang : 
    1. Program Ziarah Dakwah dan Lawatan ke Perkampungan Orang Asli
    2. Program Operasi Dakwah Bersepadu kepada Masyarakat Orang Asli
    3. Program Ramah Mesra YBM Tengku Temenggong Kelantan
  • Program-Program Umum Dakwah :
    1. Program Ibadat Korban di perkampungan Orang Asli
    2. Program Ihya’ Ramadan di perkampungan Orang Asli
    3. Program Sambutan Hari Kebesaran Islam
    4. Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri di perkampungan Orang Asli


DAKWAH SAUDARA BARU BUKAN ORANG ASLI
Antara aktiviti/program dakwah kepada saudara baru bukan Orang Asli adalah:

  • Kursus Fardu Ain Mingguan Saudara Baru Bukan Orang Asli di tujuh (7) jajahan iaitu Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Puteh.
  • Pengoperasian Pusat Latihan Mualaf
  • Seminar Keluarga Mawaddah kepada golongan Ibu Tunggal
  • Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada peserta Kursus Fardu Ain Mingguan Saudara Baru
  • Bantuan Keraian Memeluk Islam kepada Saudara Baru
  • Bantuan Keraian kepada pelindung Saudara Baru
  • Penajaan Pengajian Pelajar Saudara Baru
  • Bantuan Segera Kecemasan (Sakit Kritikal)

SYARAT-SYARAT MEMELUK ISLAM
Seseorang yang ingin memeluk Islam mestilah berumur cukup 18 tahun pada tarikh pendaftaran dilakukan.

PENGESAHAN PEMELUKAN ISLAM
Seseorang yang telah cukup umur 18 tahun perlulah :

  1. Hadir ke pejabat agama jajahan dan mendapat surat pengesahan memeluk Islam dan seterusnya
  2. Hadir terus ke Unit Dakwah MAIK, untuk urusan pengesahan dan pengeluaran kad Islam

BANTUAN KERAIAN SAUDARA BARU
Bantuan Keraian kepada Saudara Baru yang membuat pendaftaran pengislaman di MAIK akan mendapat sebanyak RM 600.00 (one-off) manakala Bantuan Keraian kepada Pelindung Saudara Baru akan diberikan sebanyak RM 500.00 (one-off) bagi tujuan membimbing dan melindungi Saudara Baru yang dipertanggungjawabkan.

 
 

TATACARA MENGELUARKAN TAULIAH MENGAJAR AGAMA
Seseorang yang ingin memohon tauliah mengajar agama perlu :

  • Mengisi lengkap borang permohonan tauliah mengajar agama
  • Mengemukakan permohonan tersebut di Unit Dakwah Bahagian Agama

* Seseorang calon yang telah mengemukakan permohonan tauliah mengajar agama, akan dipanggil untuk ditemuduga.

JENIS-JENIS TAULIAH MENGAJAR AGAMA

HALAQAT

Pemohon yang layak dipertimbangkan;

  • Mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam yang diiktiraf atau setaraf denganya atau;
  • Mempunyai Sijil Pengajian Pondok dari dalam negara atau luar negara. Pengajian di pondok hendaklah sekurang-kurangnya selama enam (6) tahun ke atas.
  • Tauliah mengajar halaqat adalah bagi kegunaan mengajar agama secara halaqat di masjid, surau, pondok dan lain-lain tempat selain dari sekolah atau institusi pengajian yang menggunakan sistem persekolahan.
  • Pemohon yang berjaya akan menerima Tauliah Mengajar Agama MAIK yang sah laku selama tiga (3) tahun.
  • Pemegang tauliah ini dikehendaki memohon kepada MAIK untuk menyambung semula Tauliah Mengajar Agama MAIK setelah tamat tempoh sah laku tiga (3) tahun.

FARDU AIN

Pemohon yang layak dipertimbangkan;

  • Bagi pemohon yang tidak mencapai kelayakan tauliah mengajar halaqat boleh dipertimbang untuk diberi tauliah mengajar Fardhu Ain.
  • Tauliah Mengajar Fardhu Ain adalah bagi kegunaan mengajar agama peringkat asas, sama ada di masjid, surau, rumah atau lain-lain tempat termasuk taman bimbingan kanak-kanak dan Fardhu Ain di sekolah.
  • Pemohon yang berjaya akan menerima Tauliah Mengajar Agama MAIK yang sah laku selama tiga (3) tahun.
  • Pemegang tauliah ini dikehendaki memohon kepada MAIK untuk menyambung semula Tauliah Mengajar Agama MAIK setelah tamat tempoh sah laku tiga (3) tahun.

SEKOLAH

  • Tauliah Mengajar Sekolah dikeluarkan kepada guru-guru yang mengajar di IPI MAIK dan YIK.
  • Pemohon akan menerima tauliah selama beliau bertugas di IPI MAIK atau YIK.

PROSES TEMUDUGA
Seseorang calon yang telah mengemukakan permohonan tauliah mengajar agama, akan dipanggil untuk temuduga tauliah mengajar agama dengan membawa kitab-kitab yang diisi semasa permohonan dibuat dan menjawab soalan-soalan daripada panel temuduga.

SEMINAR KEPADA PEMEGANG TAULIAH
Pemegang Tauliah Mengajar Agama MAIK adalah diwajibkan untuk menghadiri seminar atau program yang dianjurkan oleh pihak MAIK.

JENIS-JENIS KITAB
Kitab-kitab yang dibenarkan Guru Agama mengajar adalah kitab agama yang berlandaskan fahaman Aqidah ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab Syafie.

ETIKA YANG PERLU DIPATUHI

  1. Mendapat persetujuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Masjid;
  2. Penceramah tidak menyampaikan ceramah atau menyebarkan ajaran/fahaman yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  3. Tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubung dengan Perlembagaan dan Institusi Istana;
  4. Tidak membangkitkan isu-isu khilafiah yang terdapat dalam mazhab yang muktabar;
  5. Tidak menyentuh isu-isu parti politik atau peribadi mana-mana individu;
  6. Mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan.

KAEDAH TUNTUTAN ELAUN GURU-GURU AGAMA MAIK
Dengan mengisi dan mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Mengajar Agama, yang lengkap diisi dan disahkan oleh Imam/AJK Masjid Mukim tempat Guru Agama tersebut mengajar.

DEFINISI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM
Sekolah Agama Swasta/ Institusi Pengajian Tahfiz/ Institusi Pengajian Pondok

SYARAT-SYARAT PENDAFTARAN
Dokumen yang diperlukan :

  1. Surat permohonan untuk mendaftarkan Institusi Pendidikan Islam di bawah MAIK
  2. Kertas kerja mengenai latar belakang, kokurikulum, tenaga pengajar dan lain-lain
  3. Salinan sijil-sijil tenaga pengajar yang telah disahkan
  4. Salinan tauliah mengajar agama yang dikeluarkan oleh MAIK
  5. Status bangunan dan tanah yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan
  6. Surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
  7. Surat sokongan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan
  8. Pelan tataletak/pelan lantai pusat pengajian
  9. Contoh-contoh teks yang telah digunakan jika diminta (semasa lawatan)

SUKATAN PELAJARAN YANG DIBENARKAN

  • Sukatan yang diselaras bersama Unit Pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Manakala sukatan pelajaran Institusi Pengajian Tahfiz dan Institusi Pengajian Pondok ditentukan mengikut ketetapan yang dikeluarkan oleh MAIK.
KEENGGANAN

Sekiranya sesebuah Institusi itu tidak didaftarkan dengan pihak MAIK, akan menyukarkan segala urusan dengan pihak berwajib dan boleh didakwa di bawah Seksyen 96 (pendaftaran dan pengawalan sekolah-sekolah agama dan institusi-institusi pengajian agama), Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994

TATACARA PERMOHONAN SURAT SOKONGAN PAS LAWATAN IKHTISAS JAKIM

  1. Memastikan Institusi Pendidikan Islam telah berdaftar dengan pihak MAIK.
  2. Pihak penganjur (Institusi Pendidikan Islam MAIK) mestilah berdaftar di Sistem e-Ikhtisas melalui pihak MAIK untuk mendapatkan ID pengguna dan kata laluan bagi log masuk ke dalam sistem.
  3. Penganjur mestilah melengkapkan maklumat di maklumat pemohon dan maklumat tambahan dengan memuat naik dokumen-dokumen berikut:
    1.  Surat permohonan Pas Lawatan Ikhtisas
    2. Halaman utama passport
    3. Cop imigresen masuk Malaysia terkini
    4. Pas Lawatan Ikhtisas di maklumat tambahan
    5. Pelajar yang berpindah tempat belajar perlu memuat naik surat berhenti
    6. Pengesahan perakuan penganjur
    7. Jadual belajar/mengajar terkini
    8. Surat/Sijil pendaftaran Institusi Pendidikan Islam yang belum tamat tempoh di maklumat penganjur
  1. Pihak MAIK akan menerima permohonan daripada sistem e-Ikhtisas dan melaksanakan temuduga kepada pemohon seterusnya menghantar keputusan temuduga kepada pihak JAKIM.
  2. Pihak JAKIM akan menyemak dan memproses permohonan serta memberikan ulasan. Bagi permohonan yang lengkap, pihak JAKIM akan mengeluarkan Surat Sokongan Pas Lawatan Ikhtisas dan sekiranya tidak lengkap, penganjur hendaklah mengemaskini semula dokumen permohonan.
  3. Penganjur mendapatkan Surat Sokongan Pas Lawatan Ikhtisas JAKIM yang mempunyai cop rasmi Jabatan (MAIK) dan surat kelulusan MAIK.
  4. Pemohon membuat temu janji dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.
  5. Pemohon membawa surat-surat kelulusan bersama Passport Asal ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.

 

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Bebas-Tol : 1-800-88-6060

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1244
Kelmarin1658
Minggu Ini7578
Bulan Ini51164
Jumlah Pengunjung3423692